PARIT BUNTAR : Kerajaan Perak akan meneruskan projek pembinaan 100 buah rumah di DennisTown di sini tidak lama lagi, kata Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Beliau berkata Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) sedang membincangkan konsep rumah sesuai termasuk apartmen, teres dua tingkat dan teres setingkat.

“Apa yang kerajaan negeri lakukan untuk membantu penduduk mengikut kemampuan mereka untuk membeli rumah.

“Kerajaan negeri biasanya memberikan subsidi kepada pembeli rumah Perakku di antara RM60,000 hingga RM80,000 bagi rumah berharga RM150,000,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Perak Kembali Gemilang @ DUN Titi Serong di Dewan Taman Seri Tenggara, di sini hari ini.

Hasnul Zulkarnain berkata demikian sebagai menjawab keresahan penduduk DennisTown mengenai projek perumahan cadangan kerajaan dahulu yang masih tertangguh.

Mengenai Kempen Perak Kembali Gemilang, Hasnul Zulkarnain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong berkata ia diteruskan di semua daerah tahun depan bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.

Katanya sebelum ini kerajaan mengadakan Program Setia Perakku yang memberikan penekanan kepada kakitangan kerajaan. – BERNAMA