IPOH: Projek Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak yang sedang dalam pembinaan bukan sahaja memberi impak kepada ekonomi negeri, tetapi secara tidak langsung akan menjana pendapatan penduduk di kawasan sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata dengan adanya projek itu, ia merangsang kewujudan dan pembangunan kawasan perumahan, kawasan rehat dan rawat di sepanjang jajaran sejauh 233 kilometer serta mengalakkan industri pelancongan.

“Suatu ketika dahulu penduduk banyak menimbulkan persoalan mengenai pembinaan Lebuh raya Utara Selatan Tanjung Malim-Bagan Serai, namun apabila sudah siap ia memberi impak kepada ekonomi penduduk sekitar menerusi pembangunan di situ.

“Jadi, saya harap dengan pembinaan lebuh raya baharu ini dapat membantu menjana pendapatan penduduk di sekitar Hilir Perak, Manjung, Larut Matang dan Selama sehingga Changkat Jering apabila wujudnya peluang pekerjaan untuk mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau mengulas pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan pembinaan lebuh raya itu membabitkan kos RM5 bilion.

Lebuh raya sepanjang 233 kilometer itu dikendalikan oleh syarikat konsesi West Coast Expressway Sdn Bhd sejak 2014 dengan pembinaannya dibahagikan kepada 11 fasa.

Fasa empat iaitu dari Jalan Persekutuan ke Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baharu dan fasa lapan dari Hutan Melintang ke Teluk Intan antara yang dijadual siap dan dibuka pada awal 2019.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Taiping Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata selain memberi impak kepada penduduk dan negeri, pembinaan lebuh raya itu diyakini mampu memperkasakan pekan-pekan kecil di sekitar laluan.

“Lebuh raya ini memudahkan pengunjung dalam dan luar negara datang ke pekan-pekan di sekitar lebuh raya. Oleh itu ia meningkatkan lagi industri pelancongan di Perak lebih-lebih lagi Pulau Pangkor telah diisytihar sebagai pulau bebas cukai,” katanya.

Seorang penduduk di sini, Nurliyana Yaafar, 28, berkata lebuh raya itu dapat memendekkan masa perjalanan beliau dan suami untuk pulang ke rumah mentua di Teluk Intan.

“Laluan ini juga akan menjadi laluan alternatif bagi penduduk yang kerap berulang-alik selain mengelak kesesakan jalan raya khususnya musim perayaan kerana peratusan penduduk yang melalui laluan itu amat tinggi,” katanya sambil menambah kadar kemalangan juga dapat dikurangkan.

— BERNAMA