PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret di sini hari ini melanjutkan tahanan reman selama tiga hari terhadap seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan berkaitan projek membekal dan memasang panel tenaga solar kepada 369 sekolah di Sarawak membabitkan kos RM1.25 bilion.

Perintah reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek yang berusia 39 tahun itu sebelum ini direman lima hari bermula Jumaat lalu ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini.

Suspek adalah individu ketiga yang ditahan reman setakat ini bagi membantu siasatan kes itu.

Semalam, dua suspek termasuk seorang pengarah syarikat turut disambung reman selama lima hari bagi membantu siasatan.

Kementerian Pendidikan sebelum ini memulakan siasatan dalaman berhubung projek membekal panel tenaga solar kepada 369 sekolah di Sarawak yang diberikan kepada syarikat berpangkalan di Bintulu, yang didakwa melanggar prosedur – berita harian