LUMUT: Penduduk Kampung Teluk Muroh yang terlibat dengan projek tambakan laut di kawasan itu meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) jangan hanya mendengar sebelah pihak.

Sebaliknya, mereka memohon agar suruhanjaya itu mengadakan perjumpaan dengan mereka bagi mendapat penjelasan sebenar mengenai projek berkenaan.

Seorang penduduk, Mat Junoh Mat Sidek berkata, mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan projek itu seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Malah, menurutnya, penduduk bakal menikmati kehidupan yang lebih baik apabila projek berkenaan siap sepenuhnya.

“Memang pada mulanya kami membantah kerana tidak mendapat penerangan sewajarnya, tetapi selepas mendapat maklumat sebenar, kami menyokong kerana ia bakal memberi manfaat kepada kami.

“Saya sendiri tinggal di atas tanah rizab dan pastinya projek itu boleh membantu saya untuk mendapatkan rumah yang lebih baik,” katanya ketika sidang media di sini, pada Rabu.

Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail dalam sidang media pada Selasa berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung isu penambakan laut itu yang dikatakan mencetus rasa tidak puas hati penduduk dan nelayan.
Beliau berkata, pihaknya menyatakan kesediaan untuk membantu lebih 1,000 penduduk dan 117 nelayan di kawasan berkenaan yang dikatakan kecewa dengan pelaksanaan projek tersebut.

Mat Junoh yang juga nelayan di kawasan itu berpendapat, projek tersebut tidak memberi kesan kepada nelayan kerana ia bukan lokasi mencari ikan.

“Jadi tidak ada sebarang masalah yang kami terpaksa hadapi, tambahan pula ada jeti sementara yand disediakan oleh pihak berkenaan,” ujarnya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Manjung Selatan, Md Salim Sahari pula berkata, jumlah nelayan yang terdapat di kawasan itu hanya kira-kira 30 orang, bukannya 117 seperti yang didakwa oleh Razali.

Katanya, pihak SUHAKAM sepatutnya berjumpa dengan kedua-dua belah pihak bagi mendapat penjelasan sewajarnya.

Ketua Kampung Padang Tembak/Teluk Muroh, Mohamad Salim Ghazali juga berharap agar SUHAKAM berlaku adil dan mendengar penjelasan dari semua pihak dan tidak berpihak kepada satu kumpulan.

“Di sini terdapat 60 rumah setinggan yang sebelum ini sudah mendapat notis agar berpindah, namun kerajaan negeri memohon supaya ditangguh hingga projek ini siap,” katanya.

Menurutnya, projek itu tidak dilaksanakan secara sembrono tetapi dibuat setelah kajian dari pelbagai sudut, termasuk keselesaan penduduk dan kesinambungan aktiviti ekonomi mereka.

“Jika ada pihak yang mendakwa projek ini mengganggu pendapatan nelayan, ia tidak benar kerana semua itu diambil kira terlebih dahulu,” tambahnya.