LUMUT: Kerajaan sentiasa menitikberatkan semua aspek termasuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar untuk pelaksanaan projek penambakan serta pembangunan semula perkampungan nelayan Teluk Muroh, di sini.

Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, segala aspek tersebut termasuk aspek teknikal telah dipersetujui dan dicapai dalam beberapa siri perbincangan bagi memastikan pembangunan mengikut standard operasi yang ditetapkan.

Menurut beliau, sebelum pembangunan dilakukan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta beberapa agensi terlibat telah mengambil kira keperluan teknikal di samping khidmat nasihat kepakaran konsultan.

“Malah, kajian hidrologi dan teknikal yang berkaitan dengan elemen pantai telah diambil kira sebelum memulakan projek yang memberi manfaat kepada kepentingan awam dan masyarakat nelayan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Ketua Pengarah (Sektorial) Unit Perancang Ekonomi Datuk Allauddin Anuar melawat perkembangan pembangunan di kawasan pembinaan projek penambakan tersebut di sini, hari ini.

Lawatan itu disambut dengan perhimpunan aman lebih 200 penduduk kampung, termasuk nelayan dan generasi kedua yang memberi sokongan penuh terhadap projek itu dan mahu ia diteruskan, walaupun ada segelintir pihak yang membantah.

tambak_laut

Mohamad Fariz berkata, sehingga kini fasa pertama pembinaan projek seluas 17.8 hektar yang melibatkan tambakan, pembinaan jeti kekal dan laluan keluar masuk bot sedang dijalankan dan dijangka siap awal tahun depan.

Menurut beliau, fasa kedua pula yang melibatkan pembinaan rumah akan dijangka dimulakan pertengahan tahun depan.

Sementara itu, Ketua Kampung Padang Tembak Teluk Muroh, Mohamad Salim Ghazali berkata penduduk dan nelayan di kawasan berkenaan menyokong penuh usaha yang dijalankan kerajaan negeri bagi membantu menyelesaikan isu petempatan.

“Sekurang-kurangnya, projek ini membantu membina petempatan semula bagi 100 rumah nelayan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Salleh Hussin, 34, pula berkata projek itu boleh memberi peluang kepada generasi kedua sepertinya untuk memiliki rumah sendiri.