IPOH – Kerajaan negeri Pakatan Harapan meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut mengenai projek tanaman cili yang menerima peruntukan dari kerajaan terdahulu bernilai RM19 juta di Perak tampil membantu memberi maklumat.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, dana projek itu sebelum ini disalurkan oleh kerajaan untuk projek tanaman cili melibatkan 129 belia masyarakat India.

“Berdasarkan rekod Pejabat Tanah dan Galian negeri, dana tersebut telah disalurkan melalui Tekun Nasional kepada parti MIC.

“Tanah ini telah dipecahkan kepada beberapa geran yang kemudiannya dibeli oleh sebuah syarikat bagaimanapun, tinjauan mendapati projek tanaman cili ini tidak dilaksanakan,” katanya ketika mengulung titah DiRraja pada Sidang DUN, di sini, pada Isnin.

Tambah Ahmad Faizal sekiranya disyaki terdapat sebarang unsur penyelewengan, pihak yang berkaitan perlu melaporkan perkara berkenaan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang untuk tindakan lanjut.

“Kerajaan negeri memandang serius isu ini kerana ia membabitkan dana awam,” tegas ADUN Chenderiang itu.

Sebelum ini A. Sivasubramanuam (Buntong – DAP) telah merayu campur tangan kerajaan negeri berhubung projek terbabit kerana dipercayai mempunyai unsur penyelewengan oleh pihak-pihak tertentu.