SELINSING – Projek Rancangan Tebatan Banjir di Kerian telah siap sepenuhnya, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Beliau berkata, projek yang menelan kos RM230 juta itu diharap dapat mengelak berlakunya bencana banjir di daerah berkenaan memandangkan fenomena La Nina dijangka melanda negara antara Jun dan Oktober.

 

“Kita harap ia dapat meminimakan (bencana banjir), kita tak boleh cakap tak berlaku banjir kerana itu rancangan kita, tetapi ketentuan Allah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Lampu Jalan  Kampung (LJK) Fasa 7 di Dewan Orang Ramai Selinsing pada Rabu.

Mengenai projek LJK, Zainol Fadzi sebanyak 30,309 unit lampu telah dipasang di Perak dari fasa pertama hingga enam  iaitu dari 2002 hingga 2013.

“Projek ini mula diperkenalkan pada 2002 di bawah pembiayaan sepenuhnya oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) manakala Tenaga Nasional Berhad adalah bertindak sebagai agensi pelaksana atau kontraktor,” katanya.

Beliau berkata, projek LJK bagi fasa tujuh pula diperkenalkan tahun ini dan jumlah keseluruhan yang telah diluluskan kuota pemasangan oleh KKLW di Perak ialah 6,000 unit dan 898 daripadanya adalah di Kerian.

“Perak merupakan negeri paling banyak memasang lampu itu, sementara Johor Bahru negeri kedua terbanyak dan Kedah negeri ketiga,” katanya.