MANJUNG: Projek pembangunan tiga buah hospital daerah di negeri ini berjalan seperti yang dirancang, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya pembangunan Hospital Seri Manjung, Parit Buntar dan Perak Tengah tergendala kerana kerajaan tiada peruntukan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang hanya ingin mencari laba politik.

“Mereka kata macam-macam, malah ada yang hospital tak jadi buat sebab kerajaan tak ada duit lah.

c55b26e1-5b02-47a1-b582-ad786f043fbe“Mereka kata peruntukan untuk Perak Tengah telah dibawa ke Parit Buntar tetapi baru-baru ini ketika turun ke Parit Buntar, saya dengar ada yang kata peruntukan Parit Buntar telah dibawa ke Perak Tengah pula, macam-macam cerita,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Sekolah Agama Rakyat An Najah, Taman Samudera di sini, pada Selasa.

Dr Zambry memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan projek-projek yang telah dijanji, cuma mungkin ada yang terlewat kerana sebab-sebab teknikal.

Beliau memberi contoh, pembinaan Hospital Parit Buntar mengambil masa kerana ia dibina di kawasan sawah padi yang memerlukan tempoh untuk tanah tersebut mampat.

Di samping itu, katanya, kelewatan projek pembangunan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh adalah disebabkan struktur batu kapur di bawah tanah di situ yang perlu dirawat, bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.

“Jadi, janganlah mainkan isu-isu sebegini kerana akhirnya ia tidak menguntungkan sesiapa,” ujar beliau.