IPOH – Protes besar-besaran perlu diadakan bagi menolak pengiktirafan wira diberikan kepada penjajah Jepun.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya menyokong usul yang dicadangkan Persekutuan Wushu Tarian Singa dan Naga Perak untuk diadakan mesyuarat di peringkat Persekutuan Wushu Malaysia bagi menyampaikan bantahan terhadap pengiktirafan itu kepada Kerajaan Malaysia dan Jepun.

Katanya, apa yang dilakukan oleh Kerajaan PH di Kedah amat mendukcitakan kerana penjajahan Jepun di negara ini merupakan satu tragedi kepada rakyat Malaysia sama ada kaum Melayu, Cina dan India.

“Kita tak boleh mengagung-agungkan askar Jepun ini, sebagai wira memang jauh sekali. Apa justifikasi PH di Kedah nak mengagung-agungkan tiga wira Jepun ini?

“Ini tak kena. Demi menyedarkan rakyat Malaysia harus adakan protes besar-besaran.

“Jangan kerana hubungan rapat dan mesra kita dengan Jepun sekarang, apa yang mereka minta kita bagi, itu tak sepatutnya berlaku,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pusat Wushu Persekutuan Wushu Tarian Singa dan Naga Perak di Kampung Baharu Buntong, di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Persekutuan Wushu Tarian Singa dan Naga Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Terdahulu dalam ucapan pada majlis tersebut, Hang Soon berkata, pihaknya akan mengusulkan kepada Persekutuan Wushu Malaysia agar satu mesyuarat diadakan bagi membantah pengiktirafan terhadap tiga wira Jepun itu.

Sementara itu, Ka Siong mengingatkan Kerajaan PH supaya melaksanakan kerja dengan betul.

Katanya, keutamaan harus diberikan kepada program-program yang memberi manfaat kepada rakyat.

Sebelum ini, perasmian Memorial Tugu Jepun mencetus kontroversi apabila perkataan ‘wira Jepun’ pada sepanduk promosi menjadi tular dan dipertikai banyak pihak.

Berikutan itu, Kerajaan Kedah mengemukakan permohonan maaf di atas kesilapan teknikal perkataan ‘wira Jepun’ yang tertera pada sepanduk promosi Perasmian Memorial Tugu Peringatan Jepun – sinar harian