IPOH : Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini kecoh sedikit gara-gara kenyataan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) bahawa Proton bukan lagi kereta nasional.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi melontarkan kenyataan itu semasa menjawab soalan mengenai tindakan kerajaan negeri membeli kereta baharu jenama Toyota Camry bagi kegunaan Exco.

“Mengapa tak beli Proton? Proton bukan Malaysia punya, China punya. Taraf, status Proton bukan lagi kereta nasional, ia sudah dimiliki syarikat luar,” katanya semasa mewakili Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjawab soalan tambahan Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN-Changkat Jering) di Ipoh, hari ini.

Ahmad Saidi dalam soalan tambahannya bertanya mengapa kerajaan negeri tidak membeli kereta Proton dan Exco boleh memainkan peranan sebagai duta untuk kereta nasional.

Jawapan Asmuni (Amanah-Manjoi) itu mencetuskan rasa tidak puas dalam kalangan beberapa Adun pembangkang termasuk Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengakalan Baharu) yang mempertikaikan aspek pemilikan saham dalam Proton dan mendakwa Exco berkenaan menyeleweng fakta.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa bercakap pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei ke-24 di Tokyo, Jun 2018 berkata Proton Holdings (Proton) yang beliau lancarkan pada 1983 bukan lagi kereta nasional.

Syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group (Geely) ketika ini memiliki kepentingan 49.9 peratus dalam Proton, sementara DRB-Hicom masih mengekalkan pegangan sebanyak 50.1 peratus.

Menjelas lanjut, Asmuni berkata harga pasaran seunit kereta Toyota Camry itu adalah RM190,000, namun kerajaan negeri membelinya pada harga RM109,000 seunit iaitu penjimatan sebanyak RM81,000 menerusi rebat cukai.

Terdahulu, kepada soalan asal Ahmad Saidi yang ingin tahu kadar hutang semasa Perak, Asmuni berkata sehingga 4 Julai lalu, hutang awam kerajaan negeri Perak berjumlah RM255.8 juta.

Katanya jumlah itu berkurang RM313.3 juta atau 57.45 juta berbanding yang dicatatkan sehingga Disember 2018 dan pengurangan itu membuktikan komitmen pentadbiran dalam mengurangkan hutang kerajaan negeri.

 

-BERNAMA