SUBANG JAYA: “Ketika kejadian kami sedang sembahyang, sebelum dikejutkan dengan bunyi orang menjerit dari luar pagar kuil,” kata Ng Vijai, 38, yang juga ahli jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi tadi, berlaku rusuhan di kawasan kuil terbabit berikutan perselisihan faham antara dua kumpulan mengakibatkan beberapa individu cedera.

Vijai berkata, beliau melihat sekumpulan individu memakai pakaian hitam dan bertopeng membawa senjata seperti pisau, parang dan kayu menjerit meminta mereka yang berada di dalam kuil berkenaan keluar.

“Mereka melakukan provokasi terhadap kami dengan melaungkan isu sensitif, malah ada di antara mereka masuk dengan memotong pagar sebelum mengacu parang serta pisau ke arah kami. Sebelum polis tiba, ada sekumpulan lelaki yang juga ahli kuil ini datang membantu.

“Suasana ketika itu kecoh dengan ada di antara mereka memecah tingkap kuil, merosakkan kerusi meja dan membakar kenderaan di sekeliling kuil. Kira-kira lima individu yang berada di dalam kuil ini cedera dan dibawa ke hospital swasta di USJ,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Sami Kuil Sri Maha Mariamman, Jeyakumar Subramaniam, berkata ketika rusuhan itu berlaku, ada di antara individu luar terbabit yang memecah masuk setiap bilik di kuil berkenaan dan melarikan barangan berharga serta wang tunai.

“Saya dimaklumkan ada yang kehilangan telefon bimbit dan wang tunai ketika kekecohan itu, malah pejabat juga dipecah masuk menyebabkan dokumen berkaitan kuil ini serta wang tunai dianggarkan berjumlah RM2,000 lesap.

“Saya percaya rusuhan ini tiada kaitan dengan isu perkauman tetapi berkaitan isu pemindahan tanah yang sedang dialami kuil ini. Ada pihak yang cuba memutarbelit fakta mengenai insiden ini,” katanya.

Pemindahan kuil itu diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Mac 2014 menerusi penghakiman persetujuan selepas empat pihak bersetuju menyerahkan kembali tanah itu kepada pemiliknya.

Empat pihak terbabit ialah kerajaan negeri, pemilik tapak kuil berkenaan One City Development Sdn Bhd (One City) serta dua individu yang mendakwa pentadbir kuil itu, K Chellappa dan M Nagaraju.

Chellappa memfailkan bantahan terhadap usaha One City mengambil tapak kuil berkenaan pada 1996. Dalam penghakiman persetujuan itu pemilik tanah, (One City) juga bersetuju mendepositkan wang sebanyak RM1.5 juta kepada pihak kuil dan difahamkan wang terbabit sudah didepositkan kepada peguam kuil – berita harian