KUCHING: Kerusi Parlimen di kawasan bandar negeri ini yang kini dikuasai pembangkang, mampu dirampas semula Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, kemenangan itu amat menuntut isu antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP) ditangani segera dengan berkesan.

Penganalisis politik tempatan, Prof Madya Dr Jeniri Amir, berkata pembangkang terutama DAP, meraih kekuatan di kawasan bandar hasil isu berlarutan antara dua parti berkenaan.

Justeru, beliau berkata, penyelesaian terbaik harus dicari agar persengketaan antara dua parti itu diatasi segera, khususnya menjelang PRU-14.

“Saya percaya kerusi bandar seperti Sibu dan Sarikei yang dimenangi DAP pada pilihan raya lalu, mampu dirampas semula oleh BN.

“Tidak mustahil, kerusi Miri juga akan dirampas semula jika dua parti bertelagah (SUPP dan UPP) itu mencapai kesepakatan,” katanya di sini, hari ini.

Jeniri yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata, BN negeri perlu mencari formula terbaik menangani isu dua parti berkenaan yang tercetus sejak 2012.

Ketika ini, enam kerusi bandar yang majoriti pengundi Cina, dikuasai pembangkang dengan lima daripadanya diwakili DAP.

Kerusi terbabit ialah Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Sibu dan Lanang, manakala Miri pula dimenangi PKR.

Bagi kerusi luar bandar pula, Jeniri berkata, BN juga menghadapi cabaran tidak kurang hebat tetapi lebih kepada soal pemilihan calon.

“Saya memberi contoh, kerusi Parlimen Selangau dijangka sedikit goyah jika penyandang (Datuk Joseph Entulu Belaun) tidak dicalonkan semula.

“Bagaimanapun, saya yakin BN akan terus menguasai kerusi luar bandar. Majoriti pengundi di kawasan itu masih mengharapkan BN untuk membawa pembangunan,” katanya – berita harian