Parti-parti politik terutama barisan pimpinan politik diseru mencerminkan sifat penuh bertanggungjawab pada setiap masa dengan mengutamakan aspek-aspek keselamatan, ketenteraman awam dan perpaduan warga pada Pilihan Raya Umum-14 akan datang.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah bertitah, dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi, isu-isu sensitif menyentuh agama, kaum, budaya dan bahasa yang boleh menjejaskan perpaduan hendaklah tidak disensasikan hinga ke peringkat berpotensi mencetuskan sentimen permusuhan dan rasa kebencian di antara warga.

“Berlatar belakangkan pengalaman tiga belas kali pilihanraya umum sebelum ini, warga wajib mempamerkan kebijaksanaan berpolitik dengan mengamalkan budaya demokrasi secara matang.

“Pada setiap masa, wajib dipelihara dan wajib dipastikan, tidak diucap sebarang perkataan, dan tidak dilakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan persengketaan di antara warga.

“Keselamatan negara dan ketenteraman awam terlalu berharga untuk dikorbankan disebabkan matlamat politik jangka pendek,” titah baginda pada majlis Menzahirkan Pengumuman Pembubaran DUN ke-13 di Istana Iskandariah, di sini pada Isnin.

Sultan Perak juga menitahkan tugas-tugas pasukan keselamatan jangan sama sekali disulitkan dan ditambahkan bebanan dengan mencetuskan perkara-perkara yang boleh menjejas ketenteraman awam.

“Pihak penguatkuasaan undang-undang perlu mengambil tindakan tegas – tindakan pantas, terhadap sebarang perbuatan daripada mana-mana pihak yang boleh menjejas ketenteraman awam.

“Integriti pihak penguatkuasaan undang-undang hendaklah dipelihara dengan mempamerkan amalan penguatkuasaan berlandaskan undang-undang secara adil – secara saksama, yang tidak memihak dan tidak mempamerkan sikap partisan kepada mana-mana kumpulan, dan berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara,” titah baginda.

Demi memastikan kelangsungan pilihanraya yang tidak dipertikaikan, baginda juga bertitah Suruhanjaya Pilihanraya hendaklah melaksanakan tugas secara profesional, telus lagi berintegriti.

“Pilihanraya adalah satu proses yang memberi hak dan peluang kepada warga untuk memilih kerajaan. Hak dan peluang warga ini wajib dihormati – wajib dihargai, dan tidak dinafikan.

“Semua pihak wajib memberikan kerjasama untuk membolehkan Suruhanjaya Pilihanraya, sebaik mungkin melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Baginda juga menyeru semua pihak untuk membantu menajmin berlangsungnya proses pilihan raya dalam keadaan aman dan tenteram, berteraskan semangar meluhurkan perlembangaan, mendaluatkan undang-undang, serta kesopanan dan kesusilaan.

“ Apa juga penentuan yang menjadi pilihan rakyat, berpeganglah kepada prinsip kepercayaan kepada Tuhan.

“Bahawa segala yang berlaku dan tidak berlaku, dan apa jua pencapaian atau tidak pencapaian rancangan, adalah di bawah penentuan ILAHI,” titah baginda.