IPOH: MIC Perak tetap mempertahankan semangat berkongsi kuasa dengan parti-parti komponen di dalam Barisan Nasional (BN), tegas Pengerusinya, Datuk V. Elango.

Sehubungan itu, beliau menafikan laporan sebuah portal berita kononnya MIC Perak semakin tenggelam dan dipinggirkan kerana didakwa akan kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang dan DUN Buntong pada Pilihan Raya Umum ke–14 (PRU-14) akan datang.

“Laporan itu tidak benar dan hanya mahu memecah belahkan perpaduan di antara parti-parti komponen Barisan Nasional,” katanya kepada Suara Perak.

Laporan itu, yang memetik sumber dalaman MIC mendakwa, parti itu akan kehilangan DUN Hutan Melintang kepada UMNO manakala peluang MIC bertanding di Buntong semakin tipis selepas MyPPP semakin memintas dalam perlumbaan bakal calon.

Dakwa laporan itu lagi, MIC tidak mempunyai calon yang sesuai untuk bertanding di Buntong dan bakal calonnya pula dikatakan dipaksa oleh MIC Perak.

Elango berkata, MIC Perak sentiasa bekerja keras untuk memastikan kemenangan sesiapa sahaja yang menjadi calon BN.

Dalam masa sama, ujarnya, mereka sentiasa patuh kepada pucuk pimpinan parti, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau menegaskan, tidak timbul soal rampas kerusi kerana sejak dari dahulu lagi BN telah mengamalkan konsep kongsi kuasa sehingga kekal ke hari ini.

Beliau memberi contoh, kerusi Parlimen Tapah pada asalnya milik UMNO tetapi kerana konsep itu dan perpaduan antara parti-parti komponen, UMNO telah meminjamkannya kepada MIC.

“Apa yang penting, kita mahu memastikan Barisan Nasional menang dan terus memerintah, bukannya soal individu atau parti tertentu, itulah yang menjadi amalan kita sejak dahulu lagi,” tegasnya.

Pada PRU-13 yang lalu, MIC bertanding di dua parlimen di Perak (Sungai Siput dan Tapah) dan tiga kerusi DUN (Buntong, Hutan Melintang dan Jelapang) tetapi hanya menang di Tapah.