TAPAH– Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kali ini sebagai PRU yang paling aman dan tenteram di negeri Perak, selama 40 tahun beliau berkhidmat dalam pasukan polis.

Sambil menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua anggota polis yang terlibat, beliau menjelaskan tidak ada sebarang kes yang boleh mengancam ketenteraman awam berlaku sepanjang tempoh PRU-14.

“Kita dapati bahawa PRU kali ini merupakan satu PRU bagi negeri Perak yang paling aman dan tenteram saya pernah alami, selama 40 tahun berkhidmat dalam pasukan.

“Saya dah alami lapan PRU, inilah yang paling aman, jadi saya tidak boleh tidak mengucapkan terima kasih kepada para pegawai dan anggota polis yang bertugas bertungkus lumus selama kita buat latihan saja lebih kurang hampir setahun,” ujarnya.

Hasnan berkata demikian kepada pemberita di Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Tapah, di sini pada Rabu.

Dalam program itu, turut berlangsung majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Tapah serta mesyuarat bulanan untuk Ketua Jabatan Polis Daerah bersama Ketua Polis Perak.

Sementara itu, Hasnan berkata, pihak polis telah membuka 27 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan kecil di sepanjang PRU berlangsung.

“Penugasan yang baik telah dijalankan pada PRU tanpa memihak kepada mana-mana pihak, cuba melakukan seadilnya, bagaimanapun pihak polis telah membuka 27 kertas siasatan berkaitan kesalahan PRU.

“Seperti merosakkan poster, perasaan tidak puas hati terhadap parti lawan masing-masing, kesalahan melibatkan simbol parti dan lain-lain kesalahan yang tidak mengancam keselamatan,” katanya.

Hasnan turut mengucapkan tahniah di atas pelantikan YAB Ahmad Faizal Datuk Azumu sebagai Menteri Besar Perak yang baharu, di samping pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri.