KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menyiasat dakwaan wujud unsur sogokan demi meraih undi di Tanah Merah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Moh Samsudin Yusoff, turut mengesahkan bekas calon PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustafa, tampil menyalurkan maklumat Khamis lalu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sudah mendapat maklumat berhubung kemasukan warga asing dan pemberian barangan bertujuan meraih undi sejak tempoh berkempen berlangsung.

“Kita sudah memantau maklumat berkenaan sejak tempoh berkempen bagi memastikan aktiviti yang didakwa itu mempunyai unsur rasuah atau sebaliknya.

“Kita juga sudah merakam percakapan beberapa saksi kejadian bagi mencari bukti sebagaimana dakwaan yang tersebar,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Moh berkata, setiap barangan yang diberikan sepanjang tempoh berkempen tidak boleh dianggap sebagai rasuah, kerana penerima barangan terbabit tidak semestinya mengundi calon yang memberi hadiah itu.

“Mungkin pemberian barangan berkenaan adalah satu pendekatan supaya rakyat keluar untuk mengundi. Sebab itulah kita perlu siasat secara terperinci,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Wan Yusoff menggesa SPRM menjalankan siasatan secara telus berhubung dakwaan wujud unsur sogokan pada PRU-14 membabitkan DUN Gual Ipoh dan Parlimen Tanah Merah.

Wan Yusoff yang tampil membuat laporan kepada SPRM selepas ada pihak mendakwa disogokkan sejumlah wang selain diberi beberapa barangan termasuk pengecas mudah alih, jam dan kain pasang dalam usaha mendapatkan sokongan mereka.

Katanya, kejadian seperti itu perlu dibawa kepada pihak atasan berikutan proses pengundian tidak berjalan dengan telus dan ada pihak yang memberi sogokan pengundi untuk meraih undi sekali gus memberi kemenangan kepada parti mereka – berita harian