KOTA BELUD: Seramai 400 ahli parti pembangkang peringkat nasional dan tempatan di Kampung Rosok, Kota Belud bertindak keluar daripada parti masing-masing untuk menyertai Barisan Nasional (BN), hari ini.

Keputusan itu diketuai oleh Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rosok, Santaim Gontiung dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta sekumpulan ahli parti Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Solidariti Tanahairku (STAR), dan Parti Harapan Sabah.

Pengumuman keluar tersebut disaksikan oleh Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Kota Belud merangkap penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Musbah Jamli bersama rombongannya di kampung berkenaan.

Menurut Musbah, keputusan yang dibuat ahli dan penyokong pembangkang di kawasan tersebut sekali gus menunjukkan pihaknya dalam landasan tepat mempertahankan satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN di daerah itu, selain mewujudkan momentum merampas semula sebuah kerusi DUN iaitu Kadamaian yang jatuh kepada pihak pembangkang pada PRU-13.

“Hari ini saya berada di daerah mengundi Rosok untuk program Santai dan dalam masa yang sama ramai dalam kalangan ahli pembangkang daripada Keadilan, Waridan, Star dan Parti Harapan telah menyatakan hasrat mereka meninggalkan parti pembangkang ini kerana hilang kepercayaan dan menyertai BN, malah mereka berasa pemimpin BN sahaja yang mampu membela nasib anak bangsa di masa akan datang.

“Kita berharap akan lebih ramai lagi yang akan bersama-sama mereka untuk menyokong BN. Walaupun calon yang bertanding dalam pilihan raya ini belum diumumkan, namun mereka telah menyatakan sokongan untuk sama-sama berjuang dalam BN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui media dalam program Santai Bersama Penduduk Kampung Rosok, Kota Belud, hari ini.

Sementara itu, Santaim ketika ditemui berkata dia dan kumpulan penyokong pembangkang di kawasan tersebut sudah muak dengan janji-janji kosong daripada pucuk pimpinan mereka yang diibaratkan hanya sekadar melepaskan batok di tepi tangga menjelang pilihan raya.

“Tiada yang kami dapat selama beberapa penggal menyokong pembangkang kerana apa yang mereka janjikan sebenarnya tidak ada apa-apa…jadi kita membuat keputusan untuk bersatu padu menyokong BN kerana kami dapati hanya BN yang mampu mengubah nasib anak bangsa kita,” katanya – awani

BERITA BERKENAANBN Selangor Utamakan Calon Tempatan