IPOH – “Kita harap boleh jumpa untuk bincang lebih lanjut.” Itu reaksi ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr D Jeyakumar yang berhasrat bertemu dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu khususnya berhubung isu perumahan serta tanah di sekitar negeri ini.

Menurut Jeyakumar, kedua-dua isu berkenaan telah berlanjutan sejak sekian lama. Bagaimanapun, pihaknya terkejut apabila mendapati kerajaan negeri sebenarnya sedang menjalankan kerja-kerja bagi untuk membantu golongan berkenaan.

“Sebelum ini, kita dah hantar banyak surat dan kebanyakannya berhubung masalah petani kecil serta golongan miskin khususnya di bandar. Namun, tiada jawapan bagi tempoh sembilan bulan kebelakangan ini.

“Tapi kita terkejut, bila mengetahui sebenarnya tindakan telah pun dibuat. Jadi kita nampak gerak kerja itu sudah berlaku,” katanya.

Jeyakumar berkata demikian ketika menyerahkan surat berkenaan ke pejabat Menteri Besar Perak, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PSM Sungai Siput, M.Augustine serta hampir belasan ahli PSM dari sekitar negeri.

Difahamkan, surat berkenaan diserahkan kepada Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Khairul Shahril Amin yang mengatakan, perkara berkenaan akan dibawa ke pengetahuan Menteri Besar agar pertemuan berkenaan dapat diadakan kelak.

Sementara itu, Jeyakumar berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri khususnya dalam isu tanah serta rumah kepada golongan miskin serta pekebun kecil ini.

Katanya, kerjasama berkenaan diharap mampu menyelesaikan banyak permasalahan berkaitan tanah dan perumahan di negeri ini terutamanya yang melibatkan dua golongan berkenaan.

“Kita gembira bila kerajaan negeri umumkan nak bina rumah kos rendah dengan harga RM30,000 seunit. Harga ini dilihat dilihat berpatutan terutamanya bagi keluarga yang berpendapatan rendah.

“Oleh itu, kita sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri kerana mereka telah pun memulakan langkah bagi membantu golongan miskin serta golongan petani kecil di negeri ini,” katanya.