IPOH: Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama enam NGO tempatan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada Rabu kerana membantah tindakan kekerasan terhadap masyarakat Orang Asli yang cuba menghalang aktiviti pembalakan di kawasan tanah adat mereka di Pos Simpur, Pos Gob, dan Kuala Bering, Kelantan.

Laporan polis itu dibuat Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PSM bersama wakil-wakil enam NGO tempatan termasuk Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) dan Persatuan Aktivis Alam Sekitar (KUASA).
Menurut Ahli Parlimen Sungai Siput, Jeyakumar Devaraj yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, pihaknya merasa kecewa berhubung pendekatan yang diambil kerajaan Negeri Kelantan yang sehingga ke hari ini tidak turun ke kawasan blockade untuk mengadakan perbincangan dengan masyarakat Orang Asli yang mengalami kesusahan akibat kegiatan pembalakan di kawasan perkampungan mereka.

Katanya, dalam insiden semalam seramai 32 orang Orang Asli telah ditangkap dan beberapa buah rumah sementara yang didirikan di kawasan blockade diruntuhkan oleh pihak berkuasa.

“Sejak blockade dilancarkan, masyarakat terlibat telah memohon dialog dengan Kerajaan Negeri dan pihak Jaringan Orang Asli Semenanjung Malaysia juga telah menghantar surat kepada Ahli-Ahli Parlimen PAS pada Oktober lalu memohon supaya diadakan perbincangan dalam menangani isu ini.

“Tetapi Kerajaan negeri Kelantan telah memilih menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan ini,’’ katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di luar kawasan pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Sehubungan itu beliau meminta pihak PDRM pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memantau dan memastikan tiada tindakan kekerasan dilakukan terhadap masyarakat Orang Asli di kawasan perkampungan berkenaan.

“Kami mengharapkan Kerajaan Negeri Kelantan dapat menyelesaikan isu ini melalui rundingan dengan masyarakat Orang Asli tempatan dan bukannya dengan menggunakan kekerasan.’’ Katanya.

Jeyakumar berkata, PSM bersama enam NGO tempatan terbabit akan berkumpul beramai-ramai di hadapan pekarangan Ibu Pejabat PAS Negeri Perak di Medan Istana pada jam 9 pagi esok untuk menyerahkan satu memorandum bantahan berhubung insiden ini.30