IPOH: Calon-calon yang menerima keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) hari ini beranggapan keputusan pentaksiran itu bukanlah penghujung jalan kepada pencapaian akademik yang lebih baik pada masa akan datang.

417a950c-1675-43ec-9bce-cb923c637897Seorang pelajar yang ditemui Suara Perak, Mohd Aiman Danish Hasrul, 15, berkata, dia menerima keputusan PT3 walaupun ia bukan sebagaimana yang diharapkan.

Dengan senyuman yang agak tawar, pelajar SMK Anderson itu memberitahu dia tidak mencapai keputusan yang cemerlang seperti rakan-rakannya yang lain.

Katanya, bagaimanapun dia berasa bersyukur kerana diberikan ibubapa yang cukup memahami walaupun ada juga rakan-rakannya yang sangat hampa dengan keputusan PT3 mereka.

“Sebenarnya, saya kecewa sedikit sebab keputusan ini tidak membolehkan saya menjadi seorang arkitek.

“Ia cita-cita saya sejak kecil tetapi tidak mengapa kerana pasti ada masa lagi untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.

“Kalau saya kurangkan main telefon, dengar cakap guru, tidak tidur dalam kelas dan berseronok lebih sangat, insya-Allah saya boleh mencapai impian saya,” ujarnya.

Mohd Aiman berkata, beliau akan menjadikan keputusan PT3 itu sebagai pengajaran baginya untuk lebih memberi tumpuan kepada pelajaran bagi menghadapi SPM kelak.

Katanya, ia juga teladan kepadanya untuk sentiasa beringat akan peranannya sebagai anak sulung dengan memberi contoh baik kepada adik-adiknya.

2238d014-2b53-4d1d-9b8c-6c167c56206bSementara itu, Mohd Hafiz Mansor, 15, yang mencapai keputusan cemerlang, berkata, beliau tidak pernah memandang rendah terhadap rakan-rakan yang tidak mencapai keputusan yang diidam-idamkan.

Menurutnya, para pendidik di sekolahnya juga sentiasa mengingatkan mereka bahawa PT3 merupakan gerbang kepada kejayaan namun bukanlah penentu haluan hidup mereka.

“Ada juga subjek yang saya sasarkan tetapi tidak mengena, kecewa memang ada tetapi hilang sedikit rasa gusar itu apabila rakan-rakan memberi semangat kepada saya.

“Walaupun mereka sendiri tidak mempunyai keputusan yang memuaskan, namun motivasi itu membuatkan saya menghargai semua penat lelah kami mengulangkaji pelajaran.

“Ramai lagi rakan senior yang dapat memasuki universiti dan mempunyai pekerjaan yang agak baik walaupun mendapat satu A pada PMR (dulu) kerana mereka meletakkan keutamaan kepada masa depan, bukan balik-balik nak hampa dengan diri sendiri,” katanya.