Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SELAMA: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak berjaya membongkar satu kegiatan mencuri pasir di sekitar Tebing Tinggi, di sini, hasil operasi bersepadu agensi penguatkuasaan, malam tadi.

Jurucakap Pasukan Penguatkuasa PTG Perak berkata, operasi itu berjaya dilaksanakan hasil risikan yang dijalankan oleh pihaknya ke atas kegiatan tersebut.

Dalam operasi itu, penguatkuasa PTG Perak telah menyita sebuah jentera pengorek dan pam pasir yang digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut.

Menurut jurucakap itu, aktiviti mencuri dan mengepam pasir dilakukan oleh pencuri itu selepas waktu bekerja.

“Kebiasaannya, mereka melaksanakan kerja-kerja tanah selepas waktu bekerja atau sebelum jam 8 pagi.

“Malah, kegiatan licik mereka telah lama disedari dan dihidu penguatkuasa PTG namun kami mempunyai masalah memasuki kawasan ini atas beberapa faktor.

“Pasukan risikan akhirnya memahami modus operandi dan merangka satu operasi secara mengejut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dua buah lori yang keluar dari tapak permit pada pukul 7.30 petang telah ditahan kerana tidak menepati waktu pemindahan bahan batuan yang dinyatakan dalam pekeliling Bil 3/2015 iaitu dari 8 pagi hingga 6 petang, kata jurucakap itu.

Katanya, pemandu lori yang ditahan cuba memperdaya pihak penguatkuasa dengan menunjukkan doket palsu yang dikeluarkan oleh pejabat PTG Kedah sebagai cubaan bagi meloloskan diri.

“Kami mendapatkan maklumat lokasi lalu menyita lori dan pam pasir yang didapati masih beroperasi ketika serbuan dijalankan dan membawanya ke PTG Selama.

“Kami juga mendapatkan bantuan polis untuk menghentikan kacau ganggu di kawasan permit. Operasi dilaksanakan berdasarkan Seksyen 426 Kanun Tanah Negara,” katanya lagi.