KUALA KANGSAR – Jika sebelum ini BAIDURI bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional  (PTPTN) menjayakan tanggungjawab sosial korporat di daerah Kerian, kini misi mereka diteruskan di Parlimen Kuala Kangsar dengan menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada  keluarga asnaf.

Misi lawatan rumah ke rumah itu diketuai sendiri oleh Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli bersama-sama para penyelaras BAIDURI dan wakil dari PTPTN yang diketuai Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Sumbangan bantuan kotak makanan turut dihulurkan kepada 12 orang penerima yang terdiri daripada golongan kurang upaya dan sakit terlantar di samping sumbangan wang tunai.

Menurut Saripah, lawatan itu dapat memberi ruang dan peluang buat ahli BAIDURI menziarah golongan yang memerlukan, memandangkan badan amal itu sebelum ini sememangnya terlibat secara langsung dalam kerja-kerja amal.

“Sebelum ini kita laksanakan di daerah Kerian sempena pemukiman, dan hari ini di Kuala Kangsar pula. Jika tiada aral, dengan kerjasama dari PTPTN kita akan bergerak ke daerah-daerah lain pula di negeri Perak untuk salurkan bantuan sebegini,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Anuar Nasarah berkata, program seumpama itu merupakan salah satu pendekatan PTPTN bersama BAIDURI untuk mendampingi masyarakat selain meringankan beban mereka yang memerlukan.

”Kita mahu mengubah persepsi segelintir masyarakat yang menyatakan bahawa PTPTN tidak mesra rakyat dan hanya bertindak sebagai pemungut wang sahaja.

“Kita jalankan tanggungjawab sosial korporat ini dengan tujuan untuk sama-sama beri maklumat dan kefahaman tentang peranan PTPTN untuk kebaikan bersama, terutama untuk galakkan mereka buat tabungan dan buka akaun demi kepentingan pendidikan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Mesra Pelajar Bersama PTPTN Dan BAIDURI di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin, Kuala Kangsar.

Intipati program itu termasuk penyampaian sumbangan pembukaan akaun SSPN-i serta penyampaian sumbangan keperluan harian kepada kepada keluarga yang tidak berkemampuan.