PADANG BESAR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan membebankan peminjam khususnya bagi yang berpendapatan rendah dan baharu memulakan pekerjaan sesudah bergraduasi.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya sudah menemui mekanisme baru ke arah merealisasikan manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk menangguhkan pembayaran semula PTPTN sehingga gaji peminjam mencecah RM4,000.

“Sudah ada cadangan yang dirangka oleh PTPTN dan kali terakhir kami membentangkannya pada Rabu lalu di hadapan Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik).

“Bagaimanapun cadangan itu masih di peringkat perbincangan antara PTPTN bersama Dr Maszlee dan ia bakal membabitkan dua kementerian lain iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi,” katanya malam tadi.

Wan Saiful berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Pertubuhan Pakatan Aktivis Bersatu Prihatin Rakyat Perlis malam tadi di Kampung Tasik, Beseri di sini.

Beliau berkata, antara intipati yang diterapkan dalam mekanisme itu ialah menggalakkan pembabitan sektor swasta dan kerajaan dalam membantu peminjam.

“Mungkin antara tiga ke empat minggu lagi perkara ini akan dibawa ke dua kementerian terbabit bagi mendapatkan pandangan penuh sebelum ia dibawa ke mesyuarat jemaah menteri,” katanya.

Mengulas mengenai penafian Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berhubung dakwaan dia sudah bertemu pemimpin UMNO Perlis yang bersetuju untuk lompat parti, Wan Saiful berkata, Azlan berhak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Katanya, andaian Azlan itu sedikit pun tidak mempengaruhi kerja parti dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terbuka dalam menerima kritikan Menteri Besar Perlis itu.

“Dalam persaingan politik, masing-masing ada pandangan sendiri malah saya hormati pandangannya (Azlan) dan mustahil Azlan nak mengaku pendedahan itu benar kerana tindakan itu secara tidak langsung melambangkan kelemahannya (sebagai pemimpin),” katanya – berita harian