KUALA LUMPUR – Seramai 429,945 peminjam Perbadanan Tabung Pendi-dikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen pada 8 Jun lalu.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, dengan pelaksanaan tersebut, seramai 1.8 juta peminjam PTPTN yang patut membuat bayaran balik layak untuk ke luar negara, memperbaharui pasport dan membuat pasport baharu tanpa sebarang sekatan Imigresen.

“Ini sekali gus menepati janji 100 hari manifesto kerajaan kepada masyarakat Malaysia yang merupakan peminjam PTPTN. Kaunter PTPTN di KLIA2 juga akan ditutup sepenuhnya mulai 1 Julai ini sebagai simbolik tiada lagi pelepasan senarai hitam Imigresen.

“Sebelum ini, PTPTN melaksanakan penguatkuasaan senarai hitam imigresen selaras peruntukan Seksyen 22A, Akta PTPTN 1997 (Akta 566) yang membenarkan PTPTN menyenaraihitamkan peminjam dengan kerjasama Imigresen

Melalui penguatkuasaan ini sehingga 31 Mei lalu, kira-kira 1 juta peminjam PTPTN telah disenaraikan dan daripada jumlah itu seramai 684, 233 peminjam telah membuat bayaran balik melibatkan RM2 bilion,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata, peminjam PTPTN diingatkan menanam budaya suka membayar balik serta mengelakkan sikap suka menangguhkan pembayaran selaras dengan tuntutan agama.

Dalam pada itu, katanya, peminjam digalakkan membuat pembayaran berterusan dan konsisten bagi mengelakkan rekod buruk dalam rekod kredit Bank Negara iaitu Central Credit Reference Information Sytem (CCRIS).

“Sekiranya bayaran PTPTN tidak dibuat, maka pinjaman peribadi, perumahan, kereta dan lain-lain sukar diperoleh memandangkan institusi kewangan menilai tahap kredit peminjam melalui CCRIS sebelum sebarang permohonan atau urusan pinjaman diluluskan.

“Bagi peminjam PTPTN yang membuat pembayaran konsisten, laporan kredit CCRIS akan membantu mereka dalam memohon kelulusan sebarang pinjaman baharu,” katanya.

Penangguhan bayaran: Tunggu pengumuman rasmi

Mengulas mengenai manifesto 100 hari untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, Wan Saiful berkata, ia akan dilaksanakan setelah kajian teliti.

Menurut beliau, ketika ini PTPTN dan Kementerian Pendidikan sedang mengenal pasti maklumat pendapatan peminjam.

Katanya, ini termasuklah mendapatkan kerjasama daripada agensi lain seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“PTPTN akan terus komited melaksanakan manifesto kerajaan seperti dijanjikan dalam tempoh 100 hari pentadbiran. Namun, buat masa ini penangguhan bayaran belum dilakukan kerana kita masih dalam proses perbincangan.

“Oleh itu, peminjam diminta bersabar sehingga pengumuman rasmi diuar-uarkan. Semua peminjam juga dinasihatkan meneruskan bayaran seperti biasa sehingga pengumuman rasmi kelak,” katanya.

Wan Saiful menjangkakan pengumuman mengenai dasar penangguhan bayaran akan dibuat sebelum tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan pada 17 Ogos ini.

“Apabila semua proses selesai kita rangka, kita akan buat pengumuman bagaimana dasar ini akan dilaksanakan,” katanya.

Katanya, PTPTN juga akan merangka pelan untuk menghadapi masalah kekurangan kutipan bayaran pinjaman setelah dasar penangguhan dilaksanakan kelak.

“Sebelum ini kutipan pinjaman bulanan secara purata melebihi RM300 juta. Tetapi sejak Januari 2018, kutipan bulanan tidak pernah cecah RM300 juta.

“Kutipan juga telah menurun kepada RM200.45 juta pada Mei 2018. Maka, tanggungjawab dan cabaran kita dalam pentadbiran PTPTN baharu adalah merangka dasar untuk mara ke hadapan dalam suasana dan realiti semasa,” katanya.

Tiada syarat penerima BR1M

Dalam perkembangan lain, Wan Saiful menafikan mesej tular di media sosial mengenai syarat baharu meminjam PTPTN iaitu ibu bapa mestilah penerima BR1M.

“Mesej ini tidak benar kerana pinjaman PTPTN terbuka kepada semua pelajar warganegara Malaysia yang berhasrat menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Swasta (IPTS) dalam negara tanpa mengira pendapatan penjaga atau hanya penerima BR1M,” katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan mendapatkan maklumat PTPTN di www.ptptn.gov.my atau talian careline 03-2193 3000  

-sinar