KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mengutip sebanyak RM12.13 bilion bayaran balik pinjaman sehingga September tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, jumlah kutipan itu diperolehi hasil daripada usaha yang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan peminjam untuk membayar pinjaman mereka.

“Kelompok ini (yang liat membuat pembayaran) akan menjadi sasaran pihak kami (PTPTN) supaya mereka (peminjam) membayar balik pinjaman kerana kita perlukan wang itu untuk membantu pelajar-pelajar baharu yang akan datang,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Nine 11 terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata, kutipan balik pinjaman itu akan mengurangkan kebergantungan PTPTN kepada institusi kewangan lain dalam usaha memberi dana kepada pelajar baharu yang akan memasuki ke institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta di negara ini.

Beliau berkata, sehingga kini PTPTN telah memberi pinjaman kepada lebih dua juta pelajar di seluruh negara termasuk yang masih mengikuti pengajian tinggi.

Shamsul Anuar berharap dengan pelbagai insentif yang diperkenalkan kerajaan dalam Bajet 2017, para peminjam masih berpeluang untuk menjelaskan pinjaman mereka sehingga 31 Disember ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017 pada 21 Oktober tahun lalu mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberi insentif diskaun berkuat kuasa 22 Oktober sehingga akhir tahun ini bagi menggalakkan bayaran balik pinjaman. – Bernama