LENGGONG: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mengutip RM2.3 bilion bayaran balik sehingga Jun tahun ini.

Kutipan itu adalah 61 peratus daripada RM4 bilon kutipan yang disasarkan untuk tahun ini.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, selepas memperkenalkan pelbagai program dan cara pembayaran seperti jom pay dan direct debit, pihaknya yakin boleh mencapai sasaran kutipan RM4 bilion.

“Kita memperkenalkan pelbagai kaedah untuk bayaran balik dengan tujuan kita hendak mengurangkan penerima pembiaya kita ke kaunter-kaunter seperti `jom pay’ dan `direct debit’.

“Alhamdulillah berasaskan data yang kita ada, didapati ada peningkatan yang cukup banyak dan kaedah ini bukan hanya boleh dibuat pada waktu pejabat, dia boleh dibuat pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan wang pendahuluan pembiayaan (WPP) sempena Hari Bantu Rakyat Mukim Temelong, di Parlimen Lenggong, Perak pada Rabu.

Menurut Shamsul, bagi sesi kemasukan universiti September ini, PTPTN meluluskan WPP kepada 20,156 penuntut yang berjumlah RM30.23 juta, termasuk 2,119 orang di Perak yang berjumlah RM3.197 juta.

Secara keseluruhan, beliau memberitahu, sehingga 31 Julai 2017, sebanyak 857,009 waran WPP telah ditunaikan, berjumlah RM1.26 bilion.