KUALA TERENGGANU – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan sebanyak 100,000 akaun baharu dibuka bagi skim SSPN-i Plus melibatkan jumlah simpanan RM550 juta tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sehingga 31 Disember 2016, 52,615 akaun dengan jumlah deposit terkumpul RM15.8 juta (RM19.9 juta termasuk takaful) dan jumlah manfaat perlindungan takaful sehingga RM2.3 bilion sejak ia dilancarkan pada 8 Jun 2015.

“Sehingga Januari 2017, sebanyak 65 tuntutan melibatkan pelbagai kes dengan amaun RM709,840 telah berjaya diselesaikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Manfaat Perlindungan Takaful SSPN-i Plus dan SSPN-i di di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, kelmarin.

Shamsul Anuar berkata, produk SSPN-i Plus menawarkan enam pakej simpanan serendah RM30 sebulan.

Katanya, skim diperkenalkan ini bukan untuk simpanan semata-mata, tetapi turut mempunyai perlindungan takaful yang komprehensif dengan sumbangan premium yang murah.

“Keunikan produk ini bukan hanya terletak pada keistimewaan yang ditawarkan skim, iaitu pelepasan taksiran cukai pendapatan, dividen yang kompetitif, layak memohon pinjaman PTPTN dan simpanan dijamin kerajaan.

“Selain keistimewaan itu, apa yang menarik, mereka yang buat tabungan akan menerima manfaat takaful,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai manfaat takaful yang akan dinikmati ialah, manfaat bagi kematian atau ilat kekal menyeluruh akibat kemalangan sehingga RM1 juta, manfaat bagi 36 penyakit kritikal, elaun harian kemasukan hospital sehingga RM200 sehari, khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan maksimum tiga orang anak.

Selain itu, katanya, mereka yang membuat tabungan juga akan menikmati perlindungan 24 jam di seluruh negara dan pelan ini tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan (hanya perlu menjawab soalan kesihatan bagi mereka yang memilih pakej Berlian).

“Skim simpanan pendidikan SSPN-i Plus di bawah tabung pendidikan utama negara adalah skim simpanan pendidikan yang sewajarnya dimiliki setiap isi rumah kerana menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat baik dan menyeluruh untuk warganegara Malaysia,” katanya.

-SinarHarian