Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Golongan usahawan yang ingin membina platform kerjaya mereka kini boleh menarik nafas lega dengan inisiatif pelan perniagaan berstruktur oleh Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh ( PUBI).

Pengerusi PUBI, Sharul Baha Abd Rahman berkata antara matlamat utama persatuan itu adalah untuk meningkatkan keupayaan masyarakat setempat untuk bebas daripada belenggu masalah kewangan yang semakin menekan pada hari ini.

Jelasnya, adalah penting bagi sesiapa yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan untuk mendapatkan intipati dan kerangka perniagaan tepat untuk memastikan kejayaan mereka kelak.

“Antara aktiviti yang dikendalikan oleh persatuan kami adalah seperti bengkel pengurusan kewangan, teknik pemasaran melalui laman sosial FB, bengkel wasiat, hibah dan faraid serta seminar keusahawanan.

“Sementara itu, kami turut merancang untuk mengadakan pelbagai jenis bantuan membina landasan keusahawanan kukuh melalui Projek Pasar Malam dan Pasar PUBI 2017,Bengkel Kecantikan 2017, Bengkel Percukaian dan Zakat di dalam Perniagaan dan banyak lagi,”katanya kepada Suara Perak selepas dilantik sebagai Pengerusi dalam Mesyuarat Agung Kali Pertama PUBI 2017 di MH Hotel baru-baru ini.

Antara tetamu kehormat yang hadir adalah seperti Datuk Wira Jamaluddin Abdul Rahim, dan Timbalan Pengarah SME Corp Perak, Josefi Latif Abdul Latif.

Jelas beliau, misi sebenar persatuan yang ditubuhkan pada April 2016 itu adalah berpaksikan kepada suntikan kaedah pemasaran dan struktur perniagaan efektif di kalangan mereka yang berminat khususnya di negeri Perak.

“Kita mensasarkan usahawan tempatan dari sekitar Ipoh dan turut terbuka kepada sesiapa yang ingin menimba pengalaman keusahawanan kerana kami akan mengumpulkam individu yang tahu selok-belok dan pahit manis dalam menjadi usahawan, semuanya secara sistematik dan hands-on,”ujarnya lagi.

Tambah beliau, sesiapa yang berminat boleh menghubungi mereka secara lanjut di alamat https://www.facebook.com/PUBIPerak