PANGKOR: Puisi merupakan pemangkin dan asas dalam mewujudkan suasana harmoni di antara masyarakat terutamanya dalam keadaan dunia kini yang menyaksikan kepentingan silaturahim dalam pergaulan seharian semakin menipis.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata lenggok puisi yang cukup lembut namun penuh dengan mesej bermakna sebenarnya berupaya untuk memberikan daya pertimbangan yang lebih bijak dalam kehidupan bermasyarakat.

Beliau memberi peringatan bahawa puisi mampu mengajar manusia erti sebenar kehidupan serta mengenali keindahan alam dan bersyukur atas segala kurniaan alam kepada kita.

  

“Dalam dunia yang semakin hilang nilai hormat-menghormati antara jiran, puisi memberi damai dan harmoni.

Bayangkan, pemimpin-pemimpin dunia pada hari ini juga sudah hilang malu dan mengheret kecelaruan dalam erti sebenar kemanusiaan. Justeru percayalah, dengan berpuisi segalanya mampu diharmonikan,”katamya.

Beliau memberi ucapan penutup tersebut sempena Majlis Penutup Festival Puisi dan Lagu Rakyat (PULARA) Pangkor yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah pada malam Sabtu.

Beliau menarik perhatian dengan berkata ketika ini masyarakat semakin berlumba-lumba mengumpul harta mengatasi usaha pengumpulan diksi dan perbendaharaan kata yang boleh menjadi petunjuk kepada tahap intelek seseorang individu.

Bertemakan “Puisi Mengharmoni”, lebih daripada 7,000 pengunjung menyertai, mempersembahkan pelbagai karya seni serta membincangkan mengenai isu kritikal kesusasteraan di sekitar Pangkor pada program PULARA ke-7 itu.

“Edisi ketujuh pada kali ini menampakkan penyair datang daripada benua Amerika Latin, Eropah dan Timur berbanding dengan hanya penyair Asia Tenggara pada tahun-tahun sebelum ini.

“ Dunia sudah mulai mengenali Pangkor bukan sebagai pulau nelayan tetapi sebagai pulau martabatnya seni, sastera dan budaya,”katanya lagi.

Dalam majlis perasmian tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan melancarkan “Peluncuran Buku” karya Angin yang diterjemah oleh PK Malim Ghozali, Sajian Warisan karya Nor Azah Abdul Aziz serta Puisi Pangkor Edisi 6 oleh Rosmiaty Shaari.

Selain itu, Sultan Nazrin turut berkenan meluangkan masa menyaksikan persembahan puisi “Berhentilah Menuruni Tangga Itu’, karya kreatif Dr Zambry sendiri serta barisan penyair dari seluruh dunia dan tidak dilupakan lagu-lagu rakyat.

Ketibaan baginda di Festival Makanan Warisan Pangkor yang berada di perkarangan Arena Pangkor sekitar 8.47 malam itu dinantikan oleh kesemua yang hadir dan Baginda berangkat pulang menjelang 11.40 malam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Radzi, Timbalan Speaker Negeri, Datuk Nasaruddin Hashim serta Naib Setiausaha Agung Kongres Penyair Sedunia ( WCP), Dr Bei Ta.