TAIPING: Seorang pekerja hotel di sini mencederakan rakan sekerjanya dan menyamun wang tunai RM1,000 deposit pelanggan sebelum membakar stor hotel berkenaan pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi di Jalan Tupai itu, seorang pekerja wanita berusia 22 tahun luka di kepala akibat dipukul dengan besi pembuka tayar oleh suspek lelaki yang juga berusia 22 tahun.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah, berkata polis yang bergegas ke tempat kejadian mendapati banyak asap berkepul dari tingkat satu hotel berkenaan dan mengarahkan 13 pelanggan untuk keluar dari bangunan berkenaan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut manakala suspek ditangkap tidak lama kemudian dan semua barang kes dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata, Seksyen 435 kanun sama (Bencana dengan api) dan Seksyen 324 kanun sama iaitu mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penguasa Kanan Hasna Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.02 pagi ini dan sepasukan 10 anggota bersama tiga jentera pemadam api pergi ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati api marak membakar stor hotel itu yang terletak di tingkat satu yang juga membabitkan kebakaran 10 peratus daripada keseluruhan bangunan itu,” katanya sambil menjelaskan api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 8 pagi.

-SinarHarian