KUALA LUMPUR: Warga kota mula berpusu-pusu meninggalkan ibu kota hari ini untuk pulang ke kampung mereka bagi menunaikan tanggungjawab membuang undi di kawasan masing-masing, esok.

Lebuh raya menghala ke negeri Pantai Timur mengalami peningkatan jumlah kenderaan sejak malam tadi apabila trafik mulai sesak sekitar jam 9 malam sebelum reda menjelang tengah malam.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi laman Facebook rasmi mereka berkata, trafik di sekitar susur masuk ke Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) mulai perlahan malam tadi dan pagi ini.

“Trafik mulai perlahan sekitar susur masuk Plaza Tol Gombak dan sekitar terowong ke arah Genting Sempah jam 11.14 pagi.

“Trafik mulai perlahan sebelum masuk Plaza Tol Gombak dari Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) pada jam 9.42 malam tadi,” katanya, hari ini.

Bagaimanapun, di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bagi kedua-dua hala, keadaan trafik seperti biasa dan dijangka peningkatan jumlah kenderaan akan berlaku petang ini selepas tamat waktu kerja.

Ketua Komunikasi Korporat PLUS, Mohd Nizam Ismail berkata, tiada peningkatan jumlah bilangan kenderaan dilaporkan sejak malam tadi sehingga tengah hari ini.

“Keadaan lalu lintas seperti biasa. Kami menjangka jumlah kenderaan akan bertambah pada waktu petang dan malam nanti selepas jam 5 petang,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, pengguna KLK yang dalam perjalanan balik ke Tumpat Kelantan, Mahklufi Ismail, 34, berkata keadaan trafik sesak di susur masuk ke Bentong dari KLK.

“Saya menggunakan jalan Bentong-Raub dan bertolak kira-kira jam 9 pagi tadi sebelum dijangka tiba di Tumpat malam nanti, namun bergantung kepada keadaan lalu lintas.

“Keadaan di Bentong juga sedikit sesak, selain di jalan biasa menuju ke Raub mendapati bilangan kenderaan agak banyak. Ini menunjukkan ramai yang mahu balik mengundi di kampung.

“Mungkin keadaan akan sedikit lega selepas masuk ke lebuh raya di Kuala Lipis yang berakhir di Merapoh,” katanya yang pulang dengan dua lagi rakan senegeri – berita harian

 

BERITA BERKENAANBonus Tiga Bulan Jika BN Menang Di Selangor