IPOH: Seorang tukang kasut merayu agar anak perempuannya yang berusia tiga tahun dikembalikan kepadanya setelah didakwa dilarikan oleh isterinya, seorang warga Vietnam sejak Jumaat lalu.

Bapa tersebut, Loh Mun Kit, 38, berkata, dia khuatir anaknya, Loh Xin Yue yang menghidap penyakit sawan, dibawa keluar dari negara ini oleh isterinya yang dikenali sebagai Nguyen Thi Xuyen yang berusia 36 tahun.

“Pada Jumaat lalu, pada sekitar jam 11.30 pagi, saya pulang ke rumah dari kerja dan mereka sudah tiada di rumah, tiada sebarang nota atau apa pun.

“Saya dan Thi sebelum itu ada bergaduh dan dia juga pernah mengugut akan bawa lari anak kami sama ada secara sah atau ikut jalan belakang,” katanya dalam satu sidang media khas di sini, baru-baru ini.

Mun Kit berkata, Thi Xuyen yang dikahwininya sejak 2014 turut membawa barang kemas bernilai RM1,000 bersamanya namun meninggalkan ubat, kad pengenalan MyKid serta pasport anak mereka.

“Anak saya perlu makan ubat setiap hari, sekarang sudah beberapa hari dia tak makan ubat, saya sangat risau. Thi, saya merayu, tolong pulangkan Xin Yue, dia tak biasa hidup di tempat lain,” rayu beliau.

Ketua Biro Aduan MCA Perak, Jimmy Loh yang hadir pada siding media itu berkata, pihaknya telah membawa Mun Kit ke Jabatan Imigresen di Putrajaya pada Isnin lalu untuk memeriksa sekiranya Thi Xuyen telah meninggalkan negara ini.

“Hasil pemeriksaan yang telah dibuat mendapati tiada rekod menunjukkan mereka berdua meninggalkan negara ini dan kita langsung tidak tahu di mana ibu dan anak itu berada.

“Ketika ini kami hanya risau dengan keadaan gadis kecil berusia tiga tahun itu sahaja, dia perlukan ubatnya setiap hari jadi kita hanya mahu Thi pulangkan semula gadis itu,” katanya.

Sehubungan itu, kata Jimmy, satu laporan polis turut telah dibuat mengenai kehilangan gadis kecil tersebut pada 24 November lalu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Xin Yue atau Thi Xuyen boleh menghubungi talian 018-7505799.