KUALA LUMPUR 3 Julai – Kesemua pemilik 408 akaun yang dibekukan kerana dipercayai terlibat menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dilucutkan harta dan disaman sekiranya gagal memberikan kerjasama terhadap siasatan dijalankan.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, wang yang diterima individu, parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada 1MDB dianggap sebagai wang haram.

“Sekiranya mereka gagal tampil secara sukarela, tindakan undang-undang akan dikenakan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran buku ‘Corruption and Crime in Malaysia: Perception or Reality?’ yang ditulis Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar di Gerak Budaya, Petaling Jaya, di sini.

Semalam, media melaporkan pasukan Petugas Khas (Task Force) 1MDB telah membekukan sebanyak 408 akaun bank melibatkan dana RM1.1 bilion daripada akaun-akaun milik individu, parti politik serta NGO pada 26 dan 29 Jun lalu.

Akaun yang dibekukan turut membabitkan 81 individu serta 55 buah syarikat yang dipercayai pernah menerima dana daripada 1MDB.- UTUSAN ONLINE