Oleh: Nazialita Geynna Maharan

CHEMOR: Saban tahun, sepasang suami isteri warga emas menanti dengan penuh harapan akan kepulangan anak sulung mereka yang telah hilang tanpa berita sejak 13 tahun lepas.

V. Gopalan, 61, dan isterinya, S. Janaki, 56, yang ditemui di rumah mereka di Taman Mas, Chepor di sini, hari ini, memberitahu bahawa anak lelakinya, G. Ragu yang kini berusia 31 tahun, menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita sejak tahun 2004.

Warga emas itu berkata, pada setiap hari dia dan isterinya berdoa agar anak lelakinya itu pulang ke pangkuan keluarga.

Bekas pengawal keselamatan itu berkata, Deepavali pada tahun ini pasti lebih bermakna sekiranya disambut oleh seluruh ahli keluarganya.

“Kami rindukan dia, kami tidak tahu sama ada dia masih ingat kepada kami orang tuanya ini, tetapi kami merayu, baliklah untuk Deepavali kali ini,” kata Govindan penuh kesayuan.

Gopalan merupakan penerima cek faedah hilang upaya bernilai RM1,950 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membiayai kos perubatan dan rawatan hospital.

Dia kini hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda akibat kecederaan parah pada kaki kirinya dalam satu kemalangan jalan raya pada Jun lepas.

Sementara itu, Janaki memberitahu, ketika keluar dari rumah, anaknya baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berusia 18 tahun.

Katanya, apa yang menghairankannya dan ahli keluarga, anaknya tidak langsung menghubungi mereka sedangkan tidak wujud sebarang pertelingkahan atau perselisihan faham di antara mereka semua.

“Yang membuatkan saya hairan ialah tiada sebarang pergaduhan di antara kami tetapi dia pergi tanpa meninggalkan sebarang pesan malah sehingga ke hari ini, tidak diketahui apa masalahnya.

“Kami sentiasa berharap dia kembali. Walaupun tiada sebarang komunikasi, kami mendapat maklumat dia bekerja di Kajang, Selangor.

“Semasa ayahnya dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, kami berharap dia kembali untuk melawat ayahnya tetapi mungkin hatinya belum terbuka,” katanya sebak.

Janaki berkata, mereka mempunyai seorang lagi anak lelaki yang kini bekerja di Johor dan seorang anak perempuan yang kini telah berkahwin dan menetap di Ipoh.

Katanya, mereka sering bertanya khabar namun dia tidak ingin memberi bebanan yang lebih kerana memahami komitmen anak yang sudah berkeluarga.