IPOH: Puisi dan Lagu Rakyat (PULARA) 9 yang dijadualkan pada 28 November hingga 2 Disember ini akan menghimpunkan lebih 500 peserta dari 20 buah negara.

Bertemakan PULARA Mendunia, lokasi yang dipilih melibatkan kawasan yang menjadi tumpuan ramai seperti Lata Kinjang di daerah Batang Padang, Kampung Karyawan Malim di daerah Kampar, Kuala Kangsar serta Dataran Amanjaya.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, persidangan Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman juga diteruskan dengan sembilan ahli akademik dan penulis akan membentangkan makalah masing-masing.

“Para peserta akan dibawa untuk melawat bandar Kuala Kangsar dan mengadakan bacaan puisi di situ, acara baca puisi dan persembahan kebudayaan turut diadakan di Lata Kinjang dan Kampung Karyawan Malim, persembahan budaya nusantara pula di Dataran Amanjaya.

“Kita ingin memperluaskan pembabitan di kalangan peserta pada festival kali ini dengan membuka ruang pada anak-anak di sekolah, saya turut anjurkan supaya hadiah pertandingan penulisan didakan di peringkat sekolah.

“Saya ingin cadangkan kepada pihak festival untuk membuka pendedahan tentang kesusateraan ini kepada anak-anak muda, walaupun ramai di antara kita tidak fasih dalam kesusateraan tetapi bukalah peluang seluas-luasnya kepada mereka yang berminat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media PULARA 9 dan Hadiah Sastera Darul Ridzuan 6 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.

Turur hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, YB Tan Kar Hing dan Pengerusi Yayasan Kampung Karyawan Malim, Malim Ghozali PK dan

Festival yang dikendalikan oleh Tourism Perak dan Yayasan Kampung Karyawan Malim itu bakal melibatkan negara seperti Brunei, Singapura, China, Korea Selatan, Belanda, Jerman, Timor Leste, Thailand, Indonesia, Filipina serta Amerika Syarikat.

Penyampaian Hadiah Sastera Darul Ridzuan yang diadakan setiap dua tahun akan berlangsung pada 29 November 2018.