IPOH-Festival Puisi Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) bukan sekadar acara pit-stop (sehenti) bagi para penyair dan pengarang dunia berbicara tentang hal picisan, namun wajar mencakupi isu yang lebih mendalam.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, PULARA menjadi platform untuk para penggiat seni berkarya dan bertemu bersama peserta dari pelbagai negara.

“Bidang sastera terus menerus menjana pemikiran bernas dan menyumbang terhadap pembentukan jati diri, budaya, maruah dan peradaban sesebuah bangsa.

“Lalu terserlahlah akar budaya dan kesantunan bangsa tersebut, sejarah membuktikan bahawa bangsa yang memiliki ketinggian seni kesusasteraannya dipandang mulia oleh masyarakat dunia.

“Pulara menyediakan wadah serta modaliti untuk para penyair dan penulis bertemu, bermesra dan pada analisis terakhir menyumbang terhadap dunia persahabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Ridzuan edisi ke-6 dan Malam Nusantara sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa ke-9 (PULARA) di sini pada Jumaat.

Tambahnya, tugas bahasa bukan hanya untuk pemanis bicara dan mengindahkan ucapan tetapi menyimpulkan seluruhnya tentang bangsa hingga wujudlah mutiara kata yang berbunyi ‘bahasa menunjukkan bangsa’.

“Bahasa juga menyimpulkan tasawur yang bertindak sebagai himpunan tentang kepandaian, keilmuan, seni, sastera dan budaya. Pada analisis terakhir bahasalah ibu segala ucap dan kata,” katanya.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan anugerah kepada pemenang yang terdiri dari ketegori Anugerah Ilmuan Perak Darul Ridzuan (Abdullah Hassan), Anugerah Pejuang Sastera Perak Darul Ridzuan (Dr.Saleeh Rahamad), Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat (Baharuddin Buyong Kahar serta Anugerah Khas Perak Darul Ridzuan (Mohd Akhir Leman).