IPOH: Festival Puisi Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) berupaya memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa berikutan penyertaan peserta tahun ini daripada 19 buah negara.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan,Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr. Abdul Aziz Bari, penganjuran PULARA penting sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan negara iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

“Perkara 152 iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, saya sangat sukacita di mana ia dimartabatkan di peringkat antarabangsa, bukan selalu kita dapat program seperti ini.

“Ia menunjukkan Bahasa Melayu bukan saja dipakai dan terpakai di kalangan rakyat di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa,

“Kita mempunyai alasan yang baik dan kuat untuk memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang digunakan di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan PULARA 9 dan Hadiah Sastera Darul Ridzuan “PULARA Mendunia” di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Jumaat.

PULARA 9 yang bertemakan ‘PULARA Mendunia’ tahun ini berlangsung pada 28 November hingga 2 Disember dengan penyertaan lebih 200 orang peserta dari 19 buah negara.

Antara negara yang terlibat seperti Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, India, Jepun, Perancis, United Kingdom dan Korea.

Dalam pada itu, tajuk kertas kerja yang akan dibentangkan termasuk Persuratan Melayu di Negara Brunei Darussalam: Sorotan Bahasa Melayu Dalam Sajak, Novel ‘Kanon’ Melayu Awal Abad ke-20 Merentas Alaf serta Meneroka Bidang Pendidikan Bahasa Melayu di China Selatan.

Para peserta turut terlibat dalam persembahan di lokasi tertentu seperti Lata Kinjang, Tapah, Laman Budaya, Kuala Kangsar, Pasaraya Besar Mydin Meru dan Yayasan Kampung Karyawan Malim.