PANGKOR: Percambahan budaya tempatan dan kesenian antarabangsa selama empat hari di Festival Puisi dan Lagu Rakyat (PULARA) sudah pun melabuhkan tirainya, namun pelbagai cerita yang dapat dikongsikan oleh peserta di program berprestij itu.
Bagi Mazlan Noor Along, 61, yang merupakan pejuang lukisan abstrak serta penyair terkenal dunia, PULARA dilihat semakin berkembang dan mencapai taraf konvensyen yang sebaris dengan Kongres Penyair Sedunia (WCP).

Mazlan Noor atau lebih dikenali sebagai Along berkata, sepanjang karier seninya, beliau telah mengambil bahagian dalam lebih 1,000 konvensyen kesenian dan amat gembira kerana PULARA menjadi wadah perkumpulan profesional anak seni Malaysia.

“Apa yang unik mengenai PULARA adalah, ianya menggabungkan syair, puisi, sajak, ceritera mengenai kejadian alam dalam bentuk kesenian dan lagu rakyat, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana individu di Malaysia.

“Saya mulai menceburi bidang sajak dan syair setelah melukis hampir tiga puluh tahun, dan sejak mengikuti PULARA dari tahun 2014, saya melihat pelbagai intipati padat telah dimulakan dan dirintis dalam program ini.

“Itulah sebabnya saya berani mengatakan ianya sebagai perhimpunan terulung di Malaysia,” katanya yang pernah berkhidmat di Bahagian Seni Visual dan Lukisan Grafik di Dewan Bahasa dan Pustaka lebih daripada 30 tahun,

Ahli Persatuan Lukisan Kebangsaan, Gemahati itu berkata, polemik lukisan dan kesusasteraan merupakan satu cabang seni yang amat sinonim dan semua itu berjaya diutarakan di PULARA tanpa sebarang cela.

Mengambil contoh beberapa seminar Bahasa Melayu dan Persuratan yang berlangsung di SMK Pangkor, Pasir Bogak, Along menjelaskan, pelbagai isu dan masalah yang timbul dalam industri syair berjaya diketengahkan dan dikongsi bersama penyajak tempatan dan antarabangsa.

Beliau berharap agar gerakan yang diketuai oleh Pak Malim yang kini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, dapat menyuntik semangat anak seni untuk berani tampil ke hadapan untuk menceritakan keindahan alam di Malaysia melalui seni.

“Prasarana di Pangkor ini cukup indah, saya sendiri dan beberapa rakan telah mengambil inspirasi daripada pemandangan indah, pertembungan budaya yang ada di pulau ini sepanjang lawatan kami ke sekitar Pangkor bersama Dr Zambry sendiri.

“Jika sebelum ini, saya lebih gemar menyertai pameran kesenian Islam dan lukisan berteraskan tamadun Arab dan sebagainya, kini saya pasti akan menjadi salah seorang peserta tetap di PULARA.

“Saya akan hebahkannya kepada sahabat seni saya yang lain agar penyertaan dan idea akan lebih bertambah pada PULARA tahun hadapan,” katanya lagi.