IPOH: Kerajaan negeri Perak meneruskan komitmennya untuk mengadakan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (Pulara) bagi kali kelapan berturut-turut bermula hari ini sehingga Ahad, 3 Disember ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penganjuran Pulara itu penting bagi kerajaan negeri sebagai usaha menerapkan pembinaan bahasa dan jati diri bangsa.

“Walaupun kita lihat ia (Pulara) tidak memainkan peranan secara ekonomi dan sebagainya tetapi secara keseluruhan ia satu proses untuk membina jati diri dan satu sesi pembelajaran berterusan yang tidak boleh diambil mudah.

“Sebab itu kerajaan negeri tidak berhenti pada satu tahap, malah meneruskan penganjuran Pulara hingga tahun ini. Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari tahun ke tahun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Dr. Zambry berkata, festival itu juga secara tidak langsung telah mempromosikan Perak dan Malaysia secara amnya di mata dunia.

“Bayangkan, sekiranya peserta yang datang dari 14 atau 15 buah negara bermakna mereka akan menulis tentang Perak dan ia sekali gus mempengaruhi orang lain untuk datang ke Perak,” jelas beliau.

Beliau menambah, festival itu yang bermula sejak 2010 telah menggabungkan seminar bahasa dan persuratan Melayu merentasi zaman, festival budaya seni serantau dan festival makanan yang diadakan secara serentak.

“Seminar bahasa dan persuratan Melayu merentasi zaman turut membabitkan pembentang ternama dari dalam dan luar negara yang membicarakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama manakala festival makanan diadakan untuk memperkenalkan makanan negeri Perak.

“Setakat ini 200 peserta daripada 14 negara telah mengesahkan penyertaan dan kita yakin jumlah penyertaana itu akan terus meningkat,” ujar beliau.