IPOH – Pengumuman Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai sempena pembentangan Bajet 2018 diharap mampu menarik kunjungan lebih ramai pelancong ke negeri Perak.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi berkata, pihaknya nyata berbangga dengan pengumuman berkenaan setelah menunggu sejak sekian lama.

Menurutnya, justeru pengumuman itu bakal menyaksikan penambahbaikan serta kerja-kerja naiktaraf kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan.

“Pengumuman ini semestinya akan membawa kelainan, tambahan pula ia menjadikan Pualu Pangkor sebagai pulau kedua yang diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai.

“Sekali gus, ia akan menjadi alternatif lain untuk pelancong berkunjung ke Pulau Pangkor kerana banyak infrastruktur yang akan dinaiktaraf. Kita dah ada perancangan. Contohnya, tambah bilangan hotel.

“Apa pun, secara keseluruhannya, kita harap pengisytiharan ini akan memberi banyak manfaat kepada orang ramai khususnya pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian World Eco Tourism Expo di Casuarina @ Meru, hari ini.

-Sinar Harian