IPOH: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chendroh minta kerajaan negeri menadikan sebuah pulau di Tasek Chenderoh sebagai pusat pelancongan terbaharu Perak.

Datuk Zainun Mat Nor (BN – Chendroh) berkata, kerajaan negeri seharusnya mempertimbangkan cadangan itu dengan serius kerana pulau berkenaan mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan.

“Saya rasakan kerajaan negeri boleh jadikan sebuah pulau dalam Tasek Chendroh itu sebagai tarikkan baharu kerana potensinya amat-amat besar.

“Saya bersama-sama Pegawai Daerah Kuala Kangsar dan Persatuan Pelancongan telah pun membuat lawatan ke pulau itu dan kami bersetuju, jika kerajaan negeri membiarkan sahaja pulau itu, amatlah rugi untuk Perak,” katanya ketika membahaskan Bajet 2017 Perak dalam Sidang DUN pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan negeri melakukan pembangunan infrastruktur di Jambatan Victoria bagi menarik lebih ramai pelancong ke kawasan yang diwartakan sebagai tapak warisan negara itu.

“Kami amat bangga jambatan Victoria telah pun diwartakan sebagai tapak warisan negara tetapi ianya masih berada di takuk yang lama sejak ianya diumumkan.

“Jadi dengan peruntukkan pelancongan berjumlah RM10juta disediakan, besar harapan saya kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan saya ini,” ujarnya.