PANGKOR: Cadangan untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau buku dan pusat rujukan dengan mengumpul hasil karya peserta Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (Pulara) disifatkan sebagai idea menarik demi kebaikan bersama.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, resolusi yang dicapai sempena festival itu berjaya menggarap idea berhubung kepentingan bahasa Melayu dari pemakalah dalam dan luar negara.

“Pulara memberi impak yang besar dan dari hasil resolusi yang dijalankan saya melihat ia agak praktikal kerana pembentang melihat aspek bagaimana kita dapat laksanakan dasar bahasa dalam konteks negeri Perak.

“Kita berjaya menghimpunkan pemikir yang memberikan pandangan mengenai pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan dituturkan bukan sahaja oleh bangsa Melayu tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman sempena Pulara 8 di Kejora Garden Resort di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Zambry berkata, penganjuran Pulara memberikan keuntungan dari sudut pembentukan jati diri masyarakat di masa akan datang.

“Ada yang bertanya kepada saya kenapa Pulara diadakan saban tahun dan sudah mencapai usia lapan tahun. Ada yang bertanya apa untungnya dengan diadakan persidangan ini, di mana nilainya.

“Mereka ini saya sebut sebagai individu yang berperwatakan utilitarian, sedangkan kita tahu konsep untung ada yang nampak dan tidak. Dari sudut ini kita nampak keuntungan yang akan dimiliki generasi akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, antara resolusi turut diketengahkan pada Pulara kali ini ialah kerajaan negeri perlu menjadi pelopor dalam memperluaskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ulung untuk semua urusan rasmi.

Selain itu, turut diketengahkan ialah pembekalan koleksi bahasa berirama kepada semua pembawa majlis rasmi dan juruacara bagi melestarikan penggunaan pantun dan gurindam sebagai puisi rakyat.

Selain itu, para peserta juga mahu kaedah diwujudkan bagi memastikan penulis dan penerbit novel indie mematuhi aspek kesantunan bahasa supaya menghasilkan karya bermutu tinggi.