Oleh: Nazialita Geynna Maharan

PANGKOR: Pulau Pangkor kini menempa nama dalam bidang penyiaran radio dengan pengiktirafan sebagai antara pulau yang menjadi tuan rumah kepada Island On The Air yang dapat didengari oleh 964 stesen di seluruh dunia.

Baru-baru ini, seramai 12 pengendali radio dari Kuala Lumpur telah berkampung di pulau nelayan tersebut selama tiga hari dua malam untuk menjayakan Island On The Air (IOTA) anjuran bersama oleh Kuala Lumpur DX Team (KLDX) dan Komuniti Ham Ipoh.

a7312d40-7cc3-4f56-b66a-c8fa46723429Presiden (KLDX or KHI), Mohd Faiz Shaar berkata, pemilihan Pulau Pangkor dibuat bersempena dengan Tahun Melawat Perak 2017, selain menjadikannya sebahagian daripada siri jelajah pasukan tersebut di seluruh Malaysia sejak Mac lepas.

“Melalui IOTA, setiap pengendali radio akan menyedia, mendirikan dan mengendali stesen radio amatur di kawasan pulau.

“Ini amat berkesan bagi memperkemaskan komunikasi bantuan semasa berlakunya bencana dan kecemasan, eksperimen antara antena dan perhubungan satelit,” katanya.

Menurut Mohd Faiz, selain itu, IOTA turut berfungsi sebagai wadah pertemuan udara kepada penggemar radio amatur.

“Pengendali juga akan memastikan setiap perhubungan yang dilakukan, dicatatkan dalam log yang disediakan untuk rekod.

“Malah setiap pulau yang terpilih seperti Pulau Pangkor dan Pulau Tioman sebelum ini perlu mempunyai ID atau pengenalan unik yang sah agar memudahkan stesen-stesen yang terlibat melakukan pengesahan perhubungan,” katanya.

Beliau ditemui selepas melaksanakan program tersebut di Kejora Garden Resort, Pulau Pangkor di sini, baru-baru ini.

Tambah Mohd Faiz, IOTA merupakan aktiviti peringkat antarabangsa yang dijalankan di pulau-pulau tertentu dengan tujuan berhubung dengan stesen radio amatur di seluruh dunia.

9b047366-e9af-420a-834e-4c85e69fbff0Beliau berkata, sebanyak 964 stesen di seluruh dunia dapat dihubungi, antaranya Amerika Syarikat, Jepun, Brazil dan Australia.

Justeru, katanya, secara tidak langsung telah memperkenalkan Pulau Pangkor dan negeri Perak di mata dunia.

Katanya, apa yang menjadikan program tersebut unik ialah penggunaan isyarat panggilan khas 9M4IOTA yang telah dimohon dari Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurutnya, ia menyumbang kepada jumlah perhubungan berjaya kerana stesen di luar negara sentiasa mencari stesen yang menggunakan isyarat panggilan yang unik sebagai rekod dan simpanan mereka.

“KLDX buat masa ini sebenarnya dalam perancangan menjalankan beberapa lagi siri IOTA di pulau-pulau terpilih dan berharap agar aktiviti ini terus mendapat sambutan di samping dapat membantu industri pelancongan di negara kita,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan Kuala Lumpur DX Team boleh didapati di laman web Kuala Lumpur DX Team http://kldxteam.com

Sementara itu, Pengurus Kejora Garden Resort, Rosmah Mohamad Rosni berkata, pihaknya tertarik untuk menaja aktiviti itu kerana beliau yakin bahawa ia akan dapat menarik minat pengunjung untuk berkunjung ke Pulau Pangkor.

Di samping itu, ia memberi peluang kepada masyarakat setempat belajar mengenai komunikasi radio amatur yang ternyata amat berguna ketika kecemasan dan bencana, ujarnya.