BATU KAWAN : Kerajaan Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya pilihan raya umum (PRU) mengejut diadakan, kata Ketua Menteri,.

Beliau menegaskan, Kerajaan Pulau Pinang mempunyai mandat kukuh dan tidak berdepan sebarang kemelut politik seperti yang berlaku pada peringkat Persekutuan.

“Sekiranya keputusan ialah bubar (Parlimen), setiap negeri perlu membuat penilaian dan keputusan masing-masing.

“Pulau Pinang tidak akan ikut (membubarkan DUN) kerana kita mempunyai mandat kukuh dan tiga tahun lagi untuk menyelesaikan mandat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Smith & Nephew, di sini, hari ini.

Untuk rekod, setiap DUN boleh dibubarkan pada bila-bila masa oleh Ketua Negeri (Sultan/Raja/Yang di-Pertua Negeri) atas nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri masing-masing.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan meneliti insentif yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020.

“Kita akan meneliti insentif diberikan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi dan melihat apa yang boleh dilakukan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion yang ditunjangi tiga strategi, iaitu menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat, dan menggalakkan pelaburan berkualiti.