IPOH: Pulau Sembilan yang ditutup kepada orang ramai termasuk pelancong sejak 1 April lalu, dijangka dibuka semula dalam tempoh tiga bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, ia hanya akan dibuka setelah pelan pengurusannya diluluskan oleh Lembaga Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak dan mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Buat masa ini, kata beliau, pihaknya masih membuat tinjauan ke pulau berkenaan di samping langkah penguatkuasaan.

“Buat masa ini, semua pengusaha mengikut arahan larangan dan kita tidak mendengar sesiapa menceroboh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Media Sosial Peringkat Negeri Perak 2017 di sini pada Khamis.

Nolee berkata, pihaknya tidak akan terburu-buru membuka semula pulau itu dan tidak belum ada lagi tarikh tertentu untuk ia dibuka semula kepada orang ramai.

Kerajaan Perak menutup pulau berkenaan susulan kemasukan pelancong tidak terkawal, selain Perbadanan Taman Negeri Perak mengesan ada pihak cuba membina struktur kekal di tapak perkhemahan di Pulau Lalang, Pulau Sembilan, yang boleh merosakkan ekosistem di gugusan pulau berkenaan.

Pulau Sembilan dikatakan sangat unik kerana mempunyai ‘Blue Tears’ iaitu sejenis phytoplankton seperti kelip-kelip berwarna biru.