IPOH – Perbadanan Taman Negeri Perak telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kertas kerja berkaitan perancangan jangkamasa panjang Pulau Sembilan untuk dibentangkan kepada kerajaan negeri.

Ia dijangka akan dibentangkan dalam masa terdekat bagi membantu kerajaan negeri membuat keputusan sama ada pulau yang terkenal sebagai syurga pemancing itu akan kekal ditutup atau dibuka semula.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri YB Tan Kar Hing berkata beliau telah berhubung dengan beberapa pakar dan professional dari beberapa universiti awam tempatan untuk bekerjasama dan memberikan cadangan.

“Saya telah berjumpa beberapa orang pakar termasuk pengasas bersama Unit Penyelidikan Penyu Laut (SEATRU), Profesor Chan Eng Heng, yang merupakan pakar penyu, untuk satu program yang dijalankan dibawah Universiti Malaysia Terengganu.

“Beliau turut mengambil inisiatif untuk menghubungi beberapa orang pakar kuda laut dan terumbu karang dari Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia.

“Saya yakin dengan bantuan, nasihat pihak profesional ini bersama-sama dengan Perbadanan Taman Negeri saya yakin kita boleh sediakan satu pelan yang lebih baik dan mungkin itu akan ambil masa yang panjang sedikit sebab kita kena ambil kira segala kajian teknikal di tapak tersebut,” katanya.

YB Tan berkata demikian selepas sidang media Pertandingan Mereka dan Mencipta Maskot Wow Perak! di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Negeri Perak Zuraida Md Taib.

Beliau turut meminta sedikit masa untuk menyiapkan kertas kerja tersebut sebelum menentukan produk pelancongan yang terkenal dengan air bercahaya biru terang atau ‘blue tears’, yang dihasilkan oleh sejenis phytoplankton seperti kelip-kelip, di pantai ketika waktu malam itu, sebelum kerajaan negeri memberi kata putus sama ada pulau itu akan kekal tutup ataupun akan dibuka semula.