KUALA LUMPUR: Puluhan kenderaan terperangkap dalam kesesakan luar biasa susulan banjir kilat yang berlaku di Kilometer (KM) 23.4 ke KM24 arah selatan ke Bandar Puteri Puchong, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di sini akibat hujan yang terlalu lebat, petang tadi.

Difahamkan kesesakan lebih 15 kilometer dilaporkan berlaku di kedua-dua arah laluan berkenaan susulan banjir kilat setinggi hampir satu meter itu.

Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (LITRAK) dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya, petang tadi memaklumkan kejadian banjir kilat itu mula dikesan sekitar jam 5.05 petang susulan hujan lebat bermula kira-kira jam 4.30 petang.

“Siasatan awal kami mendapati kejadian banjir kilat itu disebabkan hujan yang terlalu lebat dengan taburan hujan mencecah 108.5 milimeter (mm).

“Kita mengambil langkah segera dengan mengarahkan Pasukan Kecemasan (ERT) ke lokasi untuk membantu pengguna yang memerlukan bantuan,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, katanya banjir kilat dilaporkan mulai surut kira-kira jam 5.50 petang apabila dua lorong di lebuh raya berkenaan sudah boleh dilalui sebelum surut sepenuhnya kira-kira 6.07 petang dan kesemua lorong boleh digunakan.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima laporan banjir kilat di tiga lokasi sekitar Puchong iaitu di Bandar Puteri Puchong, Jalan Puchong Besar berhampiran Puchong Commercial Centre dan Jalan Intan 2/8, Taman Puchong Intan.

Menurut jurucakapnya, pihaknya menghantar jentera dan anggota ke lokasi terjejas untuk memantau keadaan dan membantu pengguna jalan raya yang terperangkap dalam banjir kilat di tiga lokasi berkenaan – berita harian