KUALA KANGSAR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berjaya membangunkan 8,368 usahawan Bumiputera sehingga 30 April tahun ini dengan jumlah kelulusan pembiayaan melebihi RM2.4 bilion melibatkan 5,916 syarikat perniagaan.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah PUNB, Datuk Jamelah A. Bakar, bagi negeri Perak, PUNB telah melahirkan seramai 427 usahawan Bumiputera dan membangunkan 310 buah syarikat perniagaan dengan nilai pembiayaan sebanyak RM103.13 juta.

Beliau berkata, lima sektor teratas yang diberi kelulusan adalah teknologi maklumat dan komunikasi (11.6 %), pakaian tekstil dan aksesori (10.8 %), runcit (10%), produk petroleum (8 %), makanan dan minuman (7.7 %).

Katanya, manakala bagi pencapaian mengikut skim pembiayaan pula, SKIM Pembuatan, Kejuruteraan dan Servis (PKS) telah berjaya membangunkan seramai 735 usahawan dari 288 syarikat perniagaan yang membabitkan pembiayaan perniagaan berjumlah RM813.61 juta.

Jamelah berkata, dari jumlah tersebut, PUNB telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM15.32 juta kepada 10 syarikat perniagaan yang melibatkan seramai 23 usahawan Bumiputera PKS di negeri Perak.

“PUNB akan sentiasa berdiri rapat dengan usahawan untuk membantu mereka memantapkan perniagaan dan mengekalkan keuntungan sekaligus mencapai kecemerlangan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis lawatan Pengerusi PUNB bersama Ahli Kumpulan Usahawan PUNB Perak di Dataran Arena Square, Kuala Kangsar pada Jumaat.

Hadir sama ADUN  Bukit Chandan, Maslin Sham Razman dan Adun Manong, Mohamad Kamil Shafie.

Jamelah juga berkata, PUNB telah membeli dua unit premis perniagaan tiga tingkat berharga RM2.176 juta  yang terletak di Jelapang SQ Commercial Centre untuk disewakan kepada usahawan Bumiputera.