IPOH: Jabatan Perikanan Negeri Perak masih menjalankan pemantauan susulan pada Jumaat untuk mengetahui status dan punca sebenar kes kematian ikan di Sungai Bernam.

Pegawai Perikanan di Jabatan Perikanan Negeri Perak, Nummeran Mohd Nordin berkata, pihaknya juga telah mengambil sampel ikan dan air untuk dihantar ke makmal Jabatan Kimia di Ipoh untuk analisis parameter keracunan dan pencemaran.

 “Siasatan telah dijalankan di kawasan Sg Behrang hingga ke logi air Selisik Selangor untuk mendapatkan sampel air dan melihat kawasan yang terlibat, seperti dilaporkan oleh SUPER,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan kononnya ribuan ikan di Sungai Bernam mati, dipercayai akibat pencemaran sungai berkenaan pada Rabu.

Sungai itu dikatakan turut membekalkan air kepada enam buah kampung di Selangor, yang terletak di sempadan negeri Perak.

Nummeran berkata, kawasan siasatan merangkumi 12 kilometer untuk persampelan air iaitu dari Sungai Selisik.

“Hasil pertanyaan dan maklumat para penduduk serta nelayan darat setempat, mendapati kematian ikan bukan berpunca dari kilang ayam yang berdekatan kerana ia  berlaku di bahagian lebih atas dari kawasan kilang ayam tersebut,” ujarnya.

Beliau menambah, kematian ikan juga didapati berlaku di Sungai Inki di Selangor yang memasuki Sungai Bernam sehingga Kuala Slim di Perak.

Jenis –jenis ikan yang didapati mati terdiri daripada Lampam, Terbol, Susu Batang, Trempam, Kelah, Sebarau dan Baung.

Hasil Ujian in -situ air persampelan yang dilakukan oleh Pihak Pejabat Perikanan Daerah Batang Padang adalah seperti berikut: Amonia = < 0.05 ppm; Nitrite No3 = 25 ppm; Alkaliniti = 42 ppm dan Ph = 8.