SHAH ALAM: Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata punca kecederaan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim boleh diketahui tanpa melakukan eksperimen.

Saksi ke-24 itu berkata, pemeriksaan klinikal yang dijalankan Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood dan bedah siasat terhadap mayat Muhammad Adib sudah memberikan bukti jelas bahawa kecederaan itu bukan berpunca daripada terhimpit di pintu van Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS).

Saksi itu berkata, bagaimanapun, eksperimen dilakukan selepas saksi ke-29, Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, meminta beliau berbuat demikian.

“Bukti yang ada sangat jelas (berdasarkan) pemeriksaan klinikal dan bedah siasat. Kecederaan dada kanan mangsa boleh disebabkan oleh satu benda tumpul, keras, lebar dan sedikit kasar.

“Ia boleh jadi bahu jalan, kenderaan atau objek hadangan yang ada di situ. Apakah objeknya yang spesifik, saya tidak dapat bantu mahkamah,” katanya ketika memberi keterangan pada hari ke-34 prosiding inkues berjalan.

Dalam keterangan hari ini, Dr Ahmad Hafizam berkata, bedah siasat yang dilakukannya turut menyiat kulit Muhammad Adib bagi melihat kesan lebam pada tubuh mangsa.

Katanya, hirisan dilakukan secara keratan rentas supaya kecederaan pada lapisan kulit dan tisu perantara dapat dilihat.

“Namun, saya tidak dapat memisahkan lapisan kulit dan tisu perantara kerana mayat nanti tidak sempurna memandangkan tulang rusuk pun terpisah,” katanya.

Mengulas lanjut, saksi menerangkan walaupun tidak menyiat semua lapisan kulit, itu tidak bermakna siasatan dibuat tanpa penelitian menyeluruh.

Katanya, jika setiap lapisan dihiris, ia akan menyebabkan keadaan mayat ‘cacat’.

“Saya terangkan kepada mahkamah, bahawa saya membuat bedah siasat pada jam 1 pagi dengan mengambil kira kepentingan negara dan mengebumikan jenazah dengan cepat. Itu tidak bermakna saya melakukan bedah siasat dengan tidak teliti,” katanya.

Terdahulu, ketika ditanya peguam mewakili keluarga, Kamaruzaman Wahab, Dr Ahmad Hafizam berkata beliau mengenali Dr Shahrom yang juga bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.

“Prof Shahrom juga adalah penyelia dan pensyarah sewaktu saya melanjutkan Doktor Patologi Forensik di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia). Saya setuju dia (Prof Shahrom) mempunyai pengalaman luas,” katanya.

Pendengaran inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok – Berita harian